Sebagai seorang guru, kita memiliki pelbagai tanggung jawab dan tugas yang
harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesi guru.Tugas utama dan
terpenting yang menjadi tanggung jawab seorang guru adalah memajukan, merangsang
dan membimbing pelajar dalam proses belajar. Segala usaha kearah itu harus
dirancang dan dilaksanakan. Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah
guru yang berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran. Oleh itu
untuk keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha memahami makna motivasi
belajar itu sendiri dan mengembangkan serta menggerakkan motivasi pemberlajaran
pelajar itu ke tahap yang maksimum.
Guru dapat memahami motivasi belajar jika sewaktu mengajar dia dapat
melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:
1. Mengenal pasti tingkat kecerdasan para pelajar.
2. Melaksanakan teknik memotivasi pelajar.
3. Merumuskan tujuan belajar dan mengaitkan tujuan itu dengan keperluan dan
minat pelajar.
4. Menerapkan kemahiran bertanya kepada pelajar.
5. Melaksanakan aktiviti pengajaran dengan urutan yang sistematik.
6. Melaksanakan penilaian diagnostik.
7. Melaksanakan komunikasi interpersonal.
Memotivasi pelajar merupakan salah satu langkah awal yang harus dilakukan
oleh seorang guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika guru telah berjaya
membangun motivasi pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran bermakna guru itu
telah berjaya mengajar. Namun pekerjaan ini tidaklah mudah. Memotivasi pelajar
tidak hanya menggerakkan pelajar agar aktif dalam pelajaran, tetapi juga
mengarahkan dan menjadikan pelajar terdorong untuk belajar secara terus menerus,
walaupun dia berada di luar kelas ataupun setelah meninggalkan sekolah.
Untuk meyakinkan diri kita bahawa memotivasi pelajar dalam belajar merupakan
tugas guru dan berkewajiban pula melaksanakannya, maka pendekatan Behavioristik
perlu kita jadikan pedoman dalam mengajar. Para pakar Behavioristik mengemukakan
bahawa motivasi ditentukan oleh persekitaran. Guru merupakan persekitaran yang
sangat berperanan di dalam proses belajar. Oleh kerana itu, meningkatkan
motivasi pelajar dalam pelajaran merupakan tugas yang sangat penting bagi
guru.
Mengapa usaha memotivasi pelajar itu sangat penting bagi guru? Sesetengah
guru mungkin beranggapan bahawa tugas mereka sebagai guru hanyalah mengajar
sahaja, bukan menimbulkan minat pelajar terhadap apa yang mereka ajarkan.
Guru-guru seperti ini menghabiskan masa mereka di dalam kelas semata-mata hanya
untuk menuangkan bahan pelajaran kepada pelajar. Mereka tidak peduli sama ada
isi pelajaran yang mereka ajarkan atau yang mereka terangkan itu dapat diterima
oleh pelajar untuk dijadikan sebagai miliknya atau tidak. Mereka tidak
memperhatikan apakah bahan yang mereka ajarkan itu bermanfaat dan mempengaruhi
tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang positif. Guru-guru seperti
ini tidak menyedari bahawa pelajar-pelajar yang tidak berminat tidak akan dapat
menerima pelajaran dengan baik.
Pelajar yang tidak berminat terhadap apa yang diajarkan oleh guru tetapi dia
diharuskan mempelajarinya, dapat menimbulkan suatu perasaan benci terhadap mata
pelajaran itu, bahkan untuk selanjutnya pelajar itu tidak akan ingin pernah
mempelajarinya. Di dalam kelas yang kita ajar mungkin kita akan mendengar
pelajar berkata, "Saya tidak mampu belajar Bahasa Inggeris" atau "Saya tidak
dapat belajar matematik." Jika kita teliti permasalahannya, bukan kerana
kedua-dua mata pelajaran tersebut sukar atau tidak menyenangkan, tetapi kerana
guru kedua-dua mata pelajaran itu tidak menggunakan strategi yang berkesan,
sehingga pelajar tidak tertarik untuk mempelajarinya. Pelajar tidak bermotivasi,
malahan merasakan mata pelajaran tersebut menjadi menyiksa mereka.
Guru seharusnya menggunakan masa yang banyak sewaktu mengajar untuk
memotivasi pelajar-pelajarnya. Pelajar yang termotivasi dengan baik dalam
pelajaran akan melakukan lebih banyak aktiviti dan lebih cepat belajar jika
dibandingkan dengan pelajar yang kurang atau tidak termotivasi semasa belajar.
Ini memandangkan, jika guru dapat membangunkan motivasi pelajar terhadap
pelajaran yang diajar maka diharapkan pelajar akan sentiasa meminati mata
pelajaran tersebut.
Sesungguhnya usaha memotivasi pelajar dalam pendidikan adalah merupakan suatu
proses (1) membimbing pelajar untuk memasuki pelbagai pengalaman yakni proses
belajar sedang berlangsung; (2) proses menimbulkan semangat dan keaktifan pada
diri pelajar sehingga dia benar-benar bersedia untuk belajar; dan (3) proses
yang menyebabkan perhatian pelajar tertumpu kepada satu arah atau tujuan pada
satu masa, iaitu tujuan belajar.
Situasi kelas yang pelajar-pelajarnya termotivasi dapat mempengaruhi sikap
belajar dan tingkah laku pelajar. Pelajar yang termotivasi untuk belajar akan
sangat tertarik dengan berbagai tugas belajar yang sedang mereka kerjakan;
menunjukkan ketekunan yang tinggi; variasi aktiviti belajar mereka pun akan
lebih banyak. Di samping keterlibatan mereka dalam belajar lebih besar, mereka
juga kurang menyukai tingkah laku yang negatif yang dapat menimbulkan masalah
disiplin.
Oleh kerana itu, dalam upaya menjaga dan meningkatkan disiplin kelas maka
motivasi pelajar mesti dipertimbangkan. Ini bermakna meningkatkan motivasi
pelajar dalam belajar merupakan suatu cara yang baik dalam menghindari tingkah
laku pelajar yang negatif, kerana mereka terlibat aktif dalam belajar dan
terangsang untuk belajar.
Sebenarnya tujuan jangka panjang dalam membangun dan mengembangkan motivasi
pelajar dalam belajar adalah terbentuknya motivasi kendiri. Kita sebagai guru
ingin agar pelajar selalu terdorong untuk mengembangkan minatnya untuk belajar
walau di mana pun dia berada. Kita berharap agar pelajar-pelajar kita sentiasa
ingin menimba pelbagai ilmu pengetahuan walaupun mereka telah lepas dari
bimbingan kita. Tujuan pendidikan yang paling utama adalah untuk membangkitkan
dalam diri pelajar suatu motivasi yang kuat dan terus menerus untuk belajar. Hal
ini akan menjadi suatu kecenderungan dan kebiasaan dalam melakukan proses
belajar selanjutnya.
Yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana caranya kita semasa melakukan
pelbagai usaha untuk membangun dan mengembangkan motivasi pelajar semasa
belajar? Para pakar Humanistik, misalnya Carl Rogers, seorang pakar psikologi
mengemukakan bahawa pada dasarnya di dalam diri setiap manusia ada keinginan
yang sangat kuat untuk belajar yang bersifat semulajadi. Jadi, di dalam diri
pelajar keinginan itu sudah ada. Guru hanya mengembangkan atau memupuk keinginan
itu sehingga keinginan belajar itu dapat direalisasikan dalam bentuk prestasi
yang maksimum. Para pakar Behavioristk pula, misalnya B.F. Skinner, seorang
pakar pendidikan mengemukakan bahawa motivasi pelajar sangat ditentukan oleh
persekitarannya. Pelajar akan termotivasi semasa belajar jika persekitaran
belajar dapat memberikan rangsangan sehingga pelajar tertarik untuk belajar.
Guru harus mengatur persekitaran atau suasana belajar secara bijaksana sehingga
pelajar termotivasi untuk belajar.
Dalam proses mengajar dan belajar, guru dituntut memiliki pelbagai
pengetahuan dan pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan dan meningkatkan
motivasi pelajarnya semasa belajar, sehingga proses belajar yang dibimbingnya
berjaya secara optimal. Oleh kerana itu, guru perlu memahami dan menghayati
serta menerapkan pelbagai prinsip dan teknik-teknik untuk membangkitkan dan
meningkatkan motivasi pelajar dalam pembelajaran. Memang banyak sekali prinsip
dan teknik yang berbeza-beza yang perlu diketahui oleh guru, kerana di dalam
usaha memotivasi pelajar sesungguhnya tidak hanya satu prinsip dan teknik yang
paling mujarab dipakai untuk semua pelajar, sepanjang masa, dan untuk semua
situasi. Berbeza mata pelajaran, berbeza keperibadian pelajar, dan berbeza
keperibadian guru menuntut perbezaan prinsip dan teknik yang dipakai dalam
memotivasi pelajar. Oleh kerana itu, perbezaan mata pelajaran, keperibadian
pelajar dan keperibadian guru harus dipertimbangkan dalam memilih
prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasi
pelajar.
Di dalam kelas yang pelajar-pelajarnya terdiri dari kelompok yang memiliki
kemampuan yang sama namun berbeza keperibadian dan minat, variasi
prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang dipakai akan lebih banyak. Di dalam kelas
mungkin kita akan menemui beberapa orang pelajar yang mampu memotivasi dirinya
sendiri. Pelajar-pelajar seperti ini tidak banyak memerlukan pertolongan dari
guru untuk merangsang minat mereka dalam belajar, kerana mereka mampu mendorong
diri mereka sendiri. Kebanyakan pelajar akan mempunyai motivasi belajar jika
kita menggunakan berbagai teknik untuk memotivasi mereka, namun ada pula
sejumlah pelajar yang baru akan termotivasi jika kita melakukan usaha-usaha
khusus bagi mereka. Oleh kerana itu kita sebagai guru hendaklah fleksibel dalam
memakai berbagai pendekatan dalam merangsang minat pelajar dalam belajar, serta
mampu menerapkan berbagai prinsip dan teknik yang berbeza sesuai dengan
keperluan masing-masing pelajar .
No comments :
Post a Comment
Silahkan berkomentar dengan baik dan sopan, komentar anda berharga bagi saya...oke browww